Resepi Roti Cheese Gula Yang Sangat Lembut Guna Sukatan Cawan

Spread the love

Kebelakangan ni kerap pula saya meroti untuk santapan anak-anak di rumah. Maklumlah time cuti sekolah ni, memang lapar je lah anak-anak kan. Sampai ummi jadi buntu memikirkan menu untuk dimasak sepanjang cuti sekolah ni.

Disebabkan saya selalu kongsikan gambar-gambar bun dan roti yang saya buat, ramai kawan-kawan yang minta saya kongsikan resepinya. Jadi kali ini saya nak kongsikan resepi Roti Lembut menggunakan sukatan cawan.

Bahan-Bahannya:

4 cawan tepung roti @ tepung gandum pun boleh. (500gm)

1 peket Yis (saya guna Mauripan)

3-4 sudu besar gula (ikut kesukaan masing-masing)

1 sudu kecil garam

1 cawan air suam (200-210gm)

2 biji telur ayam gred b@c

1 sudu kecil pelembut roti

2 sudu besar marjerin

Untuk taburan: cheddar cheese parut + gula

Cara membuatnya:

  • Masukkan yis dan gula dalam mangkuk, masukkan air suam, kacau sedikit dan biarkan yis mengembang.
  • Setelah yis kembang, masukkan tepung, garam dan pelembut roti dalam bekas lain, gaulkan sebati. Kemudian masukkan 2 biji telur dan air campuran yis sedikit demi sedikit sambil menguli.
  • Uli selama lebih kurang 5-8 minit, kemudian masukkan marjerin dan terus uli lagi sehingga adunan makin kental lebih kurang 10 minit. Boleh tambahkan air atau tepung jika sekiranya adunan terasa keras atau lembik.
  • Langkah seterusnya, boleh terus bulatkan doh mengikut ukuran yang dikehendaki. Saya selalunya akan timbang doh dulu supaya bulatnya seia dan sekata jadinya. Untuk bun cheese manis seperti dalam gambar ni, saya timbang 40gm setiap satu. Boleh gunakan sedikit minyak waktu nak bulatkan doh supaya doh tidak melekat.
Doh yang dah mengembang selepas direhatkan
  • Setelah dibulatkan, susun doh dalam loyang yang telah disapu marjerin dengan jarak yang bersesuaian. Bila dah penuh loyang, rehatkan doh sehingga doh mengembang sekali ganda.
  • Cara saya rehatkan doh ialah dengan masukkan loyang ke dalam oven, tak perlu on kan oven tu ya. Korang boleh juga rehatkan doh dengan menutupnya menggunakan kain bersih.
  • Sementara itu, parut cheddar cheese dan gaulkan dengan gula. Cheese dan gula ikut kesukaan anda banyak mana nak guna. Setelah doh dah naik, tabur campuran cheese dan gula di atas permukaan doh.
Doh yang siap ditabur cheese dan gula
  • Panaskan oven 180 darjah celcius selama 10 minit. Kemudian bakar roti selama 12-15 minit ikut jenis oven. Seeloknya bakar 6 minit api bawah dan 6 minit api atas atau sehingga masak.

Resepi doh ini juga boleh dibuat lain-lain jenis bun. Ini sebenarnya resepi bun / roti asas. Boleh juga dibuat roti boy, buttermilk bun, roti sardin, roti inti kaya, roti inti nutella dan lain-lain lagi.

Kalau korang menggunakan mixer, masukkan semua bahan kering, telur dan air, putar selama 5 minit dengan putaran perlahan. Kemudian masukkan marjerin, putar lagi dengan putar sederhana ke laju selama 15 minit. Akhir sekali tukar kepada putaran perlahan selama 5 minit lagi.

Seterusnya, bolehlah ikut langkah seterusnya. Harap korang faham langkah-langkah yang saya ajar di sini. Kalau ada pertanyaan, boleh komen di bawah ya.

Selamat mencuba ya korang. Moga berjaya. Kalau tak jadi, jangan putus asas, cuba lagi dan lagi. Byee, sehingga berjumpa lagi.

Tips untuk lembutkan bun buttermilk, sardin dan lain-lain: sapu susu cair atas doh sebelum bakar dan apabila masak, sapu pula dengan sedikit marjerin. Untuk roti cheese gula ni tak perlu sapuan ini.